Keraguan logo halal Utusan Malaysia, 14 Feb 2003
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (Wartawan Utusan) Penggunaan tanda `Halal' atau `Ditanggung Halal' merupakan petunjuk keseluruhan hasil keluaran premis pembuatan, penyediaan dan penjualan adalah halal untuk orang Islam.
Penggunaan petunjuk yang menandakan sesuatu hasil itu halal tertakluk di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan Perintah Dagangan (Penanda Makanan), 1975.
Bagaimanapun seperti lain-lain perkara berkaitan dengan hal ehwal Islam yang sentiasa dikaitkan dengan ketidakseragaman, penganugerahan logo halal juga tidak terkecuali.
Ini kerana selain logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam negeri-negeri juga berkuasa untuk mengeluarkan label halal untuk digunakan pada produk atau sesebuah premis.
Pengagihan kuasa ini terkandung dalam persefahaman yang dicapai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam negeri-negeri yang antara lain mensyaratkan hanya syarikat tempatan yang mengeluarkan produk untuk pasaran sesebuah negeri sahaja boleh mendapat pengesahan majlis agama Islam negeri berkenaan.
Manakala logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim adalah diguna pakai untuk tujuan import dan eksport serta premis yang mempunyai rangkaian antara negeri-negeri lain di Malaysia.
Ini adalah ketetapan bersama yang diputuskan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Agama Islam kali ke-50 pada 30 Jun 1998.
Selain kedua-dua logo itu, terdapat juga pengeluar produk makanan yang mengeluarkan logo halal mereka sendiri, tidak kurang juga restoran-restoran yang mempamerkan perkataan seperti Bismillah menandakan makanan yang mereka jual adalah halal.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman melahirkan rasa kesalnya kerana isu kegagalan mematuhi garis panduan ditetapkan kepada premis yang mempamerkan logo halal masih timbul.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya (yang sepatutnya dilaksanakan sejak lama dulu) Majlis Agama Islam negeri-negeri bertanggungjawab mengeluarkan logo halal mengambil tindakan proaktif memastikan kes seumpama itu tidak wujud.
Dr. Maamor percaya kes terbaru di sebuah hotel empat bintang di Pulau Pinang yang memanggang babi di sebalik pengiktirafan halal yang diberi oleh Majlis Agama Islam negeri bukan kes terpencil.
PPIM sendiri katanya, menerima banyak aduan mengenai premis pengeluaran dan penyediaan makanan yang bukan saja bertindak bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan malah berani mempamerkan logo palsu.
``Tidak ada satu sistem yang boleh menentukan sama ada logo tersebut benar-benar tulen atau sebaliknya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam,'' katanya.
Beliau berkata, sepatutnya Jakim yang bertindak sebagai penyelaras hal ehwal Islam di negara ini memainkan peranan yang berkesan untuk menyeragamkan logo halal.
Ini kerana ketidakseragaman logo halal sebenarnya merupakan kelemahan utama yang sering ditimbulkan oleh pengguna barangan Islam.
Di Malaysia terdapat lebih sepuluh logo halal yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri termasuk logo yang dianugerahkan oleh Jakim.
Bidang kuasa penguatkuasaan pula terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Akta Pelabelan.
Dr. Maamor berkata, bidang kuasa Jakim yang terhad menyebabkan penguatkuasaan sukar dijalankan sehingga gagal menyerlahkan komitmen Jakim untuk menghapuskan keraguan umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, amat bertepatan jika kerajaan menggubal akta halal dan haram yang merangkumi semua aspek berkaitan penganugerahan sijil halal dan kuasa penguatkuasaan kepada semua pihak yang berkenaan.
PPIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Peguam Muslim dan Persatuan Peguam Syariah sedang merangka bentuk perundangan yang boleh diguna pakai dalam undang-undang berkenaan jika diterima kelak.
Sememangnya saranan Dr. Maamor itu tepat kerana ketiadaan undang-undang khusus mengenai halal haram menyebabkan penguatkuasaan yang benar-benar berkesan tidak dapat dilaksanakan. Ini kerana, tidak ada pasukan khas yang boleh bertindak memeriksa premis-premis secara efektif dan berterusan menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan.
Selain itu, pendakwaan kes-kes pelanggaran syarat-syarat pemberian sijil atau logo halal juga tidak dapat dijalankan dengan sempurna dan sehingga kini tidak ada satu kes mengenainya yang didakwa di mahkamah.
Dr. Maamor menegaskan, jika ada pun kuasa pendakwaan, timbul persoalan di mahkamah mana kes tersebut akan dibicarakan sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Justeru, penggubalan akta halal haram dijangka dapat mengatasi masalah-masalah tersebut kerana penggubalannya pasti akan dituruti dengan enakmen yang serupa di peringkat negeri.
Wujudnya enakmen itu kelak akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pengawalseliaan.
Beliau turut berminat mengetengahkan resolusi muzakarah ulama yang berlangsung pertengahan tahun lepas supaya Majlis Mufti-Mufti mempercepatkan proses penggubalan akta halal dan haram.
Kerajaan mempunyai pendirian tersendiri dalam masalah produk halal. Mana-mana organisasi yang ditubuhkan bagi tujuan pengesahan halal untuk dieksport ke luar negara atau untuk diimport ke negara ini seharusnya menepati kehendak kerajaan.
Kerajaan juga tidak mengiktiraf mana-mana produk yang diberikan pengesahan halal oleh badan-badan persendirian atau badan swasta atau syarikat-syarikat swasta yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditentukan dan tanpa membuat pemeriksaan secara fizikal di premis berkenaan.
Tetapi produk-produk yang dihasilkan secara kecil-kecilan misalnya rata-rata mempamerkan logo halal dan bagi umat Islam ia seolah-olah isyarat makanan itu halal dimakan.
Sebaiknya Jakim dan Majlis Agama Islam negeri meneliti perkara tersebut kerana walaupun diketahui ia dari sumber halal tetapi tidak diketahui sama ada cara pemprosesannya suci menurut Islam. Ini kerana takrif halal atau makanan ditanggung halal atau sebagainya boleh diertikan seperti berikut:
a. Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
b. Tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
c. Tidak disedia, diproses atau di kilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada benda-benda najis mengikut hukum syarak; dan
d. Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
Sijil pengesahan halal boleh ditarik balik atau ditamatkan tempoh sahnya pada bila-bila masa jika didapati menyalahi garis panduan yang telah ditetapkan atau terdapat perkara atau cara pengendalian yang meragukan dari segi syarak. Sijil yang asal perlu dipamerkan selain Jakim mensyaratkan penggunaan logo perlu disertai dengan nombor rujukan.
Meneliti syarat-syarat tersebut, Jakim atau Majlis Agama Islam negeri sewajarnya menarik balik sijil pengesahan halal kepada mana-mana pihak yang secara terang-terangan menyalahi garis panduan yang ditetapkan.
Tindakan memberi tempoh beberapa bulan kepada pihak yang menyalahi garis panduan untuk membetulkan keadaan tidak akan memberi pengajaran kepada lain-lain pihak.
|